Luahan Hati Sultan Johor pada keluarga mangsa kemalangan bas di Chiang Mai
JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini menzahirkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan bas yang mengorbankan 13 warga Johor di Chiang Mai, Thailand semalam.
Menerusi laman Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim bertitah bahawa baginda telah dimaklumkan mengenai kejadian itu yang melibatkan 22 mangsa dari Batu Pahat, dengan 13 daripadanya maut dalam kemalangan di wilayah Doi Saked itu.
"Saya ingin mengutuskan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat ketika masa yang sedih ini, dan saya berharap para penumpang yang lain selamat sampai di rumah masing-masing, insya-Allah," titah baginda.
Sementara itu, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut merakamkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dan bersedih atas kejadian tersebut.
"Semoga keluarga mangsa yang terbabit terus tabah berdepan dengan saat-saat yang menduga itu," kata beliau menerusi kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri Datuk Tee Siew Kiong berkata sebaik sahaja menerima berita tragedi itu semalam, beliau telah menghubungi jabatannya dan MCA Batu Pahat untuk memahami kejadian ini seterusnya memberi bantuan yang sewajarnya.
Beliau melahirkan rasa sedih dan merakamkan takziah atas pemergian mangsa yang terkorban.
Dalam kejadian 11.30 pagi waktu tempatan (12.30 tengah hari waktu Malaysia) itu, sejumlah 22 rakyat Malaysia berada di dalam bas berkenaan selain beberapa penumpang lain yang belum dikenal pasti kewarganegaraan mereka.
Menurut laporan berita antarabangsa, bas itu terbabas selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan pikap, ketika dalam perjalanan dari wilayah Chiang Rai ke wilayah Chiang Mai.
0 comments:
Post a Comment